PERUTUSAN PRESIDENT

PERUTUSAN PRESIDENT

Posted by on in 0 Comments

 

Bismillahirrahmanirrahim
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Syukur Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-NYA dapat saya mengukir sepatah dua kata dalam Buku Lapuran sempena Mesyuarat Agung Tahunan BUMITRA MALAYSIA buat kali yang ke 32 tahun 2014.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Hampir dua penggal (4 tahun)  saya selaku Presiden, saya dapati diri saya amat bertuah kerana dapat mengenali ahli-ahli dan agensi-agensinya yang bukan sahaja bekerja keras, tetapi sentiasa berusaha memberikan idea-idea inovatif lagi kreatif untuk menjayakan visi dan misi Persatuan, yakni untuk memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Mesyuarat Agung Tahunan merupakan satu peluang untuk saya mengucapkan ribuan terima kasih serta merakamkan penghargaan saya kepada semua ahli yang sentiasa memberikan sokongan dan sumbangan di dalam  semua acara, program, aktiviti dan kempen yang telah dirancang oleh Persatuan untuk dimanfaatkan bersama.
Dalam hal ini, saya yakin Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berada di landasan yang tepat untuk terus meningkatkan daya saing serta menjana pertumbuhan ekonomi yang positif untuk Negara dalam sektor pelancongan.  Oleh itu, lembaran 2014 dan seterusnya ini haruslah dilihat sebagai peningkatan kesungguhan usaha dan tanggungjawab, lebih-lebih lagi di pihak Tourism Malaysia dan kesemua agensi yang berkaitan, bagi pencapaian yang lebih gemilang agar manfaatnya dapat dinikmati bersama oleh semua pihak.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah  berjaya melaksanakan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 atau Visit Malaysia Year 2014, di Dataran Merdeka, dalam suasana yang cukup gilang-gemilang. Kempen ini dijangka menjadi pemangkin kepada industri pelancongan Malaysia untuk bergerak ke hadapan dan bersama-sama lah kita merealisasikan sasaran menerima 28 juta pelancong asing dengan penjanaan pendapatan sebanyak RM76 bilion pada 2014.
Di sinilah terletaknya peranan tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai “Duta VMY” sejajar dengan gagasan “We are the Host” yang mencerminkan bukan sahaja kekayaan budaya serta kepelbagaian warisan kita, malah jua keamanan, stabiliti serta kemesraan sebagai rakyat Malaysia.

Sesungguhnya perjalanan yang menunggu di hadapan kita bukanlah mudah. Ianya pasti dipenuhi pelbagai onak dan duri. Namun begitu, saya percaya dan yakin, jika kita terus bersatu dan bekerjasama dengan erat, pastinya segala halangan dapat diatasi dengan mudah. Seperti kata pepatah, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Marilah kita semua berazam melipatgandakan usaha dan kegigihan kita untuk menjadi sebuah Persatuan yang berdayasaing serta lebih cemerlang pada tahun ini.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ini amat penting kerana tuan-tuan dan puan-puan perlu menunaikan tanggungjawab untuk menentukan pucuk pimpinan Persatuan yang bakal menerajui Persatuan untuk penggal seterusnya.  Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan bijak untuk membuat pilihan dan Ahli Jawatankuasa Kerja yang dilantik kelak harus memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh rasa tanggungjawab. Saya sentiasa berdoa agar industri pelancongan di Malaysia akan terus berkembang maju dan mengharumkan lagi nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan terhebat  di mata dunia.

Sekian, Terima Kasih.

 

MOHD AYUB HASSAN

Presiden

Your email address will not be published. Required fields are marked *