PERUTUSAN PRESIDEN

PERUTUSAN PRESIDEN

 

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera kepada ahli BUMITRA MALAYSIA yang dihormati sekalian.

Segala pujian hanya bagi Allah Azza Wa Jalla. Selawat dan salam ke atas Rasulullah, Nabi Muhammad saw yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Selawat dan salam juga ke atas ahli keluarga baginda dan para-para sahabat.

Saya bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat saya sampaikan kata-kata aluan dalam buku Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 37. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada para perwakilan dan juga ahli-ahli ke Mesyuarat Agung Tahunan BUMITRA MALAYSIA pada tahun ini. Saya mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Kerja Eksekutif ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri serta terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan.

Adalah menjadi harapan saya selaku Presiden agar ahli-ahli BUMITRA MALAYSIA akan terus meningkatkan usaha-usaha untuk mempersiapkan diri agar tidak ketinggalan di dalam arus revolusi industri 4.0. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, tekanan ini boleh menjejaskan kualiti kehidupan di tempat kerja dan juga kehidupan peribadi.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan EXCO BUMITRA MALAYSIA yang sentiasa memberi sokongan yang berterusan dalam merencana dan menjayakan aktiviti sepanjang tahun. Tidak lupa juga kepada ahli-ahli yang telah memberi sokongan, sumbangan dari segi dana mahupun idea, serta saranan dan juga khidmat nasihat, dengan cara ini membolehkan BUMITRA MALAYSIA meneruskan program dan sesi latihan agar ianya dapat menambahkan lagi manfaat kepada ahli–ahli BUMITRA MALAYSIA keseluruhannya. Tidak lupa juga kepada semua warga kerja BUMITRA MALAYSIA yang hanya empat (4) orang, yang sentiasa fokus dan gigih dalam menjalankan tugasan harian seiring dengan hasrat pihak pengurusan Persatuan.

Akhir kata, adalah menjadi harapan saya agar tahun 2019 ini akan lebih mendorong semua ahli-ahli BUMITRA MALAYSIA untuk terus meningkatkan usaha-usaha. Saya dengan rasa rendah diri mengajak semua ahli agar bersama-sama BUMITRA MALAYSIA dalam menyumbang ke arah kecemerlangan diri, syarikat dan negara. Semoga kecemerlangan ini akan menjulang kegemilangan BUMITRA MALAYSIA di persada dunia.

Sekian, Terima Kasih.

Yang benar

BUMITRA MALAYSIA

MOHD ALI AB MALEK
Presiden